Sebagai sebuah negara majmuk, penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum mengamalkan bahasa, agama, dan budaya yang berlainan. Oleh hal yang demikian, maka wujudlah pelbagai perayaan yang disambut oleh penduduk Malaysia sepanjang tahun. Sebenarnya, inilah ciri-ciri keunggulan kita sebagai sebuah negara majmuk.
Justeru, majlis rumah terbuka diadakan setiap kali tiba musim perayaan. Kini majlis rumah terbuka telah menjadi suatu kecenderungan aliran yang popular dalam kalangan masyarakat negara in Konsep rumah terbuka ini memberikan peluang kepada setiap rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan perayaan sesuatu kaum yang lain.
Secara tidak langsung, kecenderungan ini dapat mengeratkan silaturahim dan mencerminkan identiti masyarakat Malaysia yang harmonis di mata pelancong asing. Hal ini demikian kerana terdapat negara-negara lain yang mempunyai penduduk majmuk seperti di negara kita juga tetapi gagal mencapai tahap perpaduan seperti kita. Malah, rakyat negara berkenaan sentiasa bercakaran sesama sendiri.
Asal usul majlis rumah terbuka ini dapat dirintis kembali kepada adat budaya dan konsep seruan beragama anutan setiap kaum di Malaysia. Tanpa mengira mana-mana perayaan, sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavati, Hari Natal, Pesta Keamatan, Pesta Gawai dan sebagainya, masing-masing tetap menyambutnya dengan cara yang tersendiri.
Sesungguhnya, proses pembudayaan yang wujud dalam konsep rumah terbuka menyaksikan pertembungan antara dua atau lebih budaya. Sebagai akibatnya, akan berlakulah proses asimilasi dan penyerapan unsur-unsur kebudayaan oleh sesuatu kaum minoriti daripada kaum majoriti. Umpamanya, banyak unsur budaya Melayu yang akan diterima secara tidak langsung sebagai unsur budaya kaum Iban, Kadazan, dan Murut ekoran majlis-majlis rumah terbuka yang diadakan saban tahun.
Tambahan lagi, melalui amalan rumah terbuka, kaum-kaum yang berlainan akan lebih memahami antara satu dengan yang lain. Selain mengenal juadah kaum-kaum lain, mereka akan didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka. Secara tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi. Sikap toleransi ini amat penting demi keutuhan negara kita.
Kesimpulannya. Amalan rumah terbuka semasa menyambut perayaan pelbagai kaum di Malaysia seharusnya dijadikan suatu tradisi kehidupan rakyat negara ini. Malah, amalan sedemikian rupa menjadi identiti masyarakat majmuk Malaysia yang tiada tolok bandingnya dengan negara-negara lain